Jasad Jenggut ditemukan hanyut hingga ke Kanowit

Spread the love

KANOWIT, 8 Ogos: Operasi pencarian kanak-kanak berusia 10 tahun, yang dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki bersama keluarga karam di Sungai Rajang di seberang Wharf Batu, Pekan Kapit, pada Jumaat, telah ditamatkan ekoran penemuan mayatnya di sini petang tadi.

Jasad Jenggut Antas ditemui orang awam yang sedang memancing di perairan Sungai Rajang berhampiran Kampung Bedil, Kanowit pada jam 3.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kanowit, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Arrahman Chik, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan itu pada jam 3.34 petang tadi.

Baca > > > Pasukan SAR harap operasi mencari Jenggut dipermudahkan

“Orang awam telah menunda mangsa ke Wharf Pasar Baru Pekan Kanowit sebelum pasukan bomba dari BBP Kanowit membantu mengangkat mayat tersebut,” katanya ketika dihubungi TVS.

Katanya lagi, jasad mangsa masih dalam keadaan sempurna dan berpakaian lengkap ketika ditemui.

Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa berasal dari Rumah Agang, Nanga Setikam di Kapit.

Dalam insiden tragis pada Jumaat lalu, ayah mangsa Antas Agang memberitahu mereka sekeluarga berhasrat untuk pergi ke Pekan Kapit dan membeli barang keperluan sambil membawa anak-anak untuk makan angin di Pekan Kapit, namun semua itu tidak kesampaian apabila enjin sangkut perahu yang mereka naiki tiba-tiba terpadam dan enjin tidak dapat dihidupkan semula sehingga perahu mereka hanyut dan terlanggar tongkang yang menyebabkan perahu itu karam.

Ketika saat genting itu, Antas hanya sempat menyelamatkan anak perempuannya yang berusia lima tahun manakala isterinya dengan segala kudratnya cuba menyelamatkan Jenggut, namun anak sulungnya itu terlepas daripada genggaman dan dalam sekelip mata dihanyutkan arus deras.

Dengan penemuan itu, operasi SAR Hari Ketiga ditamatkan pada jam 4.25 petang tadi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.