GM Klang sedia bantu PKS Sabah, Sarawak pasarkan produk

Spread the love

KLANG, 8 Ogos : Pusat pemborong terbesar Malaysia, GM Klang, sedia bantu peniaga kecil dan sederhana (PKS) Sabah dan Sarawak dalam memasarkan produk mereka untuk dibeli pemborong dalam dan luar negara.

Pengurus Komunikasi Jenama GM Klang, Suhaida Othman memaklumkan salah satu alternatif yang disediakan pihaknya adalah memberi galeri khas di dalam bangunan tersebut untuk peniaga dari kedua-dua negeri tersebut mempamerkan produk untuk rujukan pemborong.

“Jadi kami di GM Klang menyediakan galeri untuk mereka mempamerkan contoh produk mereka yang dipasarkan, kemudian di galeri tersebut pemborong boleh datang dan melihat sendiri kualiti produk tersebut.

“Oleh itu, kami memberi peluang kepada mereka menggunakan ruang galeri tersebut secara percuma selama setahun untuk melihat sambutan pasaran berkenaan,” katanya ketika sesi taklimat bersama media bersempena dengan program lawatan bersama Tourism Malaysia ke GM Klang.

Pengurus Komunikasi Jenama GM Klang, Suhaida Othman

Beliau berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan agensi, perniaga kecil dan sederhana untuk mengambil peluang tersebut dan turut serta dalam kolaborasi ini yang dilihat mampu membantu pemain industri mengetengahkan produk tempatan ke pasaran luar negara.

“Ini satu inisiatif yang baik memandangkan pemborong dari Indonesia, Thailand dan Singapura sering datang ke GM Klang untuk mendapatkan barangan borong dengan harga yang berpatutan sebelum dijual semula di negara mereka.

“Namun, setakat ini GM Klang sudah berbincang dengan agensi di Sabah mengenai perkara ini, manakala untuk Sarawak kami masih belum mengadakan perbincangan dan maklum balas,” ujarnya lagi.

Seramai enam orang peserta yang terdiri daripada media dan ejen pelancongan menyertai program lawatan bersama dengan Tourism Malaysia.

Untuk rekod, GM Klang merupakan pusat borong terbesar di Malaysia dengan keluasan 1.5 juta kaki persegi dan dibahagi kepada tiga blok iaitu blok A,B dan C.

Ianya menempatkan lebih kurang 2000 peniaga barangan borong dan telah bertapak di Klang selama 13 tahun.

GM Klang sesuai untuk peniaga  yang ingin memulakan perniagaan dan membina jenama sendiri dengan cara membeli barangan dengan kuantiti borong namun dengan harga yang berpatutan.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.