ATB2 serbu stor rampas rokok seludup

Spread the love
 
TAWAU, 8 Ogos: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) merampas 3,500 karton rokok seludup selepas menyerbu sebuah stor penyimpanan barang di Lorong Haji Salleh, Kpg Sri Aman, di sini.
 
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, berkata, rampasan itu dilakukan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) ketika menjalankan rondaan Op Benteng Bersama.
 
Menurutnya, QRF mencurigai tindakan dua lelaki dewasa yang sedang memunggah beberapa buah kotak ke dalam sebuah stor kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
 
“Menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut, kedua-dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.
 
Beliau berkata pihaknya mendapati stor tersebut digunakan bagi tujuan transit dan penyimpanan rokok seludup dari Indonesia ke pasaran Tawau.
 
“Nilai keseluruhan rampasan bagi 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King itu dianggarkan RM420,000,” ujarnya.
 
ATB2 percaya kegiatan sindiket ini melibatkan warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau.
 
Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.