Sabah dan Sarawak tetap jadi ‘King Maker’ pada PRU15 – Warisan

Spread the love

BUTTERWORTH, 7 Ogos : Parti Warisan Sabah (Warisan) berpendapat, Sabah dan Sarawak tetap akan menjadi king maker untuk menentukan parti politik atau gabungan yang akan membentuk kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Naib Presidennya, Datuk Junz Wong berkata, ‘bacaan’ berkenaan dibuat berdasarkan senario politik semasa.

Katanya, perkembangan itu juga ‘memungkinkan’ Warisan untuk berada di dalam kerajaan.

“Tiada pihak (parti) yang akan membentuk kerajaan tanpa Sabah dan Sarawak.

“Boleh saya katakan, kita akan jadi king maker untuk kewujudan kerajaan selepas PRU15 nanti,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Struktur Parti Warisan Pulau Pinang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penyelaras Warisan Semenanjung Malaysia, Dr. Rajiv Bhanot dan Pengerusi Badan Perhubungan Warisan Negeri Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun.

Kombinasi Sabah dan Sarawak ketika ini membentuk 25 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen manakala sebanyak 25 kerusi pula menjadi ‘rebutan’ di Sabah.

Sementara itu, Junz berkata, beliau berharap agar PRU15 akan menjadi penamat kepada ketidaktentuan politik yang dihadapi Malaysia sejak dua tahun lepas.

“Saya rasa kita perlu lebih praktikal selepas PRU berikutnya.

“Pendirian Warisan ialah kita tidak lagi boleh berpolitik lagi selepas PRU dan harus fokus kepada agenda rakyat iaitu pemulihan ekonomi, mengatasi inflasi, kos sara hidup, pengagguran, pelaburan asing dan penyusutan ringgit,”katanya. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.