Rebut 49,243 kekosongan jawatan di Sabah – Yakub

Spread the love

TAWAU, 7 Ogos : Pencari kerja perlu lebih proaktif dalam merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dan majikan.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, di negeri ini jumlah kekosongan jawatan adalah sebanyak 49,243 berbanding jumlah pencari kerja yang aktif iaitu hanya seramai 24,415 orang.

Katanya, data berkenaan diperoleh daripada portal pekerjaan utama negara, Portal MyFuture Jobs bagi tempoh tujuh bulan tahun ini.

“Pada hari ini pula, sebanyak 1500 peluang pekerjaan ditawarkan serta merta.

“Kita berharap ini akan dapat mengurangkan peratus pengangguran di Sabah seterusnya akan menjana ekonomi rakyat,”katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Karnival Kerjaya Perdana Daerah Tawau 2022 di sini hari ini.

Katanya, karnival ini merupakan platform yang menghubungkan belia atau pencari kerja dengan syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Yakub turut menyarankan agar golongan belia supaya tidak terlalu memilih pekerjaan sebaliknya terus mengambil peluang terhidang untuk menimba pengalaman.

“Mungkin pekerjaan yang disediakan bukan pilihan atau sesuai dengan kelulusan mereka namun ianya boleh menjadi permulaan untuk memasuki alam pekerjaan,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.