Pingat emas keenam dicapai di Arena Birmingham, terima kasih Joe Ee

Spread the love

BIRMINGHAM, 7 Ogos : Dua pingat emas yang dijelmakan di hari kesembilan Sukan Komanwel 2022 pada Sabtu (6 Ogos) menceriakan kontinjen negara, sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya mencapai sasaran enam emas ditetapkan pada edisi Birmingham, di sini, semalam.

Pingat emas kelima serta keenam itu hadir di Arena Birmingham menerusi gimnas muda negara, Ng Joe Ee, yang turut melakar sejarah sebagai gimnas Malaysia pertama membawa pulang dua emas individu di Sukan Komanwel.

Gimnas berusia 16 tahun itu menyumbangkan emas kelima melalui disiplin bola dan selang beberapa jam kemudian menghadiahkan pingat emas keenam kepada Malaysia dalam disiplin riben.

Skuad gimrama kebangsaan turut menyerlah pada hari terakhir acara berkenaan di temasya kali ini, apabila seorang lagi gimnas, Izzah Amzan berjaya meraih gangsa dalam final disiplin belantan.

Di Pusat Akuatik Sandwell, pasukan renang negara turut menggembirakan kem Malaysia apabila gandingan Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng Yan Yee menghadiahkan pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita.

Semalam, gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Gabriel Gilbert Daim menyumbang pingat pertama dari skuad terjun negara apabila meraih pingat perak bagi acara 3 meter papan anjal seirama lelaki.

Sementara itu, Malaysia berpeluang menambah pingat pada hari ke-10 temasya apabila pasangan Javen Choong dan Karen Lyne melakar kemenangan sensasi 3-1 ke atas pilihan ketiga dari Singapura, Clarence Chew Zhe Yu-Zeng Jian untuk menempah slot ke final acara beregu campuran ping pong.

Javen-Karen dijadual berdepan pasangan dari India, Sharath Kamal Achanta-Sreeja Akula di peringkat akhir, esok.

Skuad skuasy negara juga berpeluang menceriakan kem negara apabila tiga wakil akan turun bersaing di peringkat separuh akhir, malam ini.

Beregu utama wanita negara, Aifa Azman-Rachel Arnorld dijadual berdepan wakil tuan rumah, Sarah-Jane Perry dan Alison Waters sementara Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani Ampandi pula akan berdepan Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand.

Sementara, pasangan Ng Eain Yow-Ivan Yuen Chee Wern dijadual berdepan beregu tuan rumah, James Willstrop-Declan James dalam saingan peringkat empat beregu terbaik itu.

Pasukan badminton juga di landasan tepat dalam menyumbangkan pingat apabila lima wakil negara menempah tempat ke separuh akhir yang akan berlangsung hari ini.

Ng Tze Yong akan turun beraksi dalam acara perseorangan lelaki, Chan Peng Soon-Tan Kian Meng (beregu lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita) dan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).

Pendahulu keseluruhan kedudukan pingat masih menjadi milik Australia, yang mengumpul 59 pingat emas, 46 perak dan 50 gangsa, diikuti tuan rumah, England, di tempat kedua 50-52-46 manakala Kanada menghuni tangga ketiga 22-29-33.

Hasil pungutan dua pingat emas pada hari kesembilan temasya menyaksikan kontinjen Malaysia naik satu anak tangga di kedudukan kesembilan dengan kutipan keseluruhan enam emas, lima perak dan empat gangsa. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.