Lelaki dicekup kurang enam jam selepas pecah masuk kedai telefon di Sibu

Spread the love

SIBU, 7 Ogos : Seorang lelaki ditahan polis tidak sampai enam jam selepas disyaki memecah masuk sebuah kedai telefon di Jalan Bengkel, dekat sini, awal pagi Jumaat lepas.

Kejadian itu dilaporkan oleh pemilik kedai pada pukul 2.30 pagi.

Suspek yang merupakan warga tempatan berusia 23 tahun berjaya ditahan pada pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pemilik kedai berusia 45 tahun yang menyedari premisnya dipecah masuk menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) segera membuat laporan.

“Susulan itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya mengesan suspek dan terus menahannya,”katanya menerusi kenyataan.

Katanya, polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit daripada suspek yang disyaki mempunyai hubung kait dengan kes itu.

Zulkipli memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 12 Ogos ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.