Ambil semangat muhibah selesaikan perbezaan pendapat – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 7 Ogos : Sarawak berharap sebarang perbezaan pendapat antara negeri itu dengan kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan secara muhibbah dalam semangat kekeluargaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sama seperti sebuah keluarga yang besar, semestinya akan berlaku perbezaan pendapat serta cara berlainan untuk melaksanakan sesuatu antara Semenanjung dan Sarawak.

Jelasnya keadaan seperti itu tidak menjadi masalah besar, sekiranya pandangan dan kaedah yang berlainan ini diselesaikan secara baik.

“Tidak ada perbezaan yang tidak dapat diselesaikan jika dibincang secara ikhlas untuk kepentingan bersama dan menang-menang untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak menghargai sedikit kebebasan serta autonomi untuk membuat keputusan sendiri dalam gagasan Persekutuan Malaysia, demi kemajuan negeri itu.

Katanya melalui kebebasan itu beliau berharap agar suatu hari nanti mampu setanding dengan kawasan-kasawan lain, yang sudah maju di negara ini.

“Sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia besar, saya pasti Perdana Menteri dan barisan para pemimpin di peringkat keluarga besar, ingin melihat keluarga kecil Sarawak juga berjaya dalam apa jua program pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.

Sepanjang tiga hari jelajah AKM Sarawak yang bermula Jumaat lalu (5 Ogos), pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.