Trio boling padang negara terpaksa puas hati pingat perak

Spread the love

BIRMINGHAM, 6 Ogos : Trio boling padang negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas 9-17 kepada England pada aksi final acara triples wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, Leamington Spa, di sini, semalam.

Pada saingan itu, gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad memberi tentangan sengit di awal permainan sebelum terpaksa akur kepada pasukan tuan rumah, England, dibarisi Jamie Lea Winch, Natalie Chestney dan Sian Honnor.

Pencapaian trio negara itu sekali gus menyaksikan skuad boling padang kebangsaan setakat ini meraih satu pingat perak dan satu gangsa.

Pada aksi penentuan tempat ketiga, New Zealand menewaskan Cook Islands, 26-7, sekali gus meraih pingat gangsa.

Ketika ditemui pemberita, Syafiqa berkata mereka sedikit terkilan kerana tidak dapat menghadiahkan pingat emas kepada negara, sedangkan sepanjang saingan di sini, masing-masing berada dalam prestasi terbaik.

“Kami sudah cuba sebaik mungkin…tetapi terpaksa berpuas hati dengan perak. Memang kecewa kerana kami pasukan (boling padang) pertama Malaysia layak ke final…kalau menang emas akan naikkan semangat rakan sepasukan yang masih berjuang di sini,” katanya.

Syafiqa, yang membuat penampilan pertama pada temasya Sukan Komanwel kali ini, berkata selepas ketinggalan 9-12, mereka kehilangan rentak permainan untuk mengejar mata pasukan lawan.

Sementara itu, Nur Ain Nabilah berkata ketika pasukan negara mendahului 9-8 selepas 12 end permainan, ia memberi keyakinan kepada mereka, namun selepas ketinggalan 9-12 menjadi titik perubahan kepada saingan akhir tersebut.

“Kita cuba kejar mata dengan pihak lawan tetapi gagal, malah corak permainan ‘attacking’ kita juga tidak menjadi,” katanya yang turut membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Komanwel itu.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.