Sarawak tolak saranan LHDN, tetap mahu Setiausaha Kewangan Negeri sebagai wakil LHDN

Spread the love

KUCHING, 6 Ogos : Sarawak tidak bersetuju dengan permintaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya melantik wakil bukan kerajaan ke dalam Lembaga Pengarah LHDN.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini keputusan Kerajaan Sarawak ‘muktamad’ iaitu menamakan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

Ujar Abang Johari, LHDN memberi cadangan berkenaan atas faktor wakil kerajaan negeri sudah mencukupi dalam Lembaga Pengarah.

“Ketika ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang – Undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan mengkaji perkara ini membabitkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan akan memberikan input melibatkan undang – undang berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Sebelum ini, Sarawak menuntut supaya wakilnya diberikan tempat dalam Lembaga Pengarah LHDN untuk mengetahui situasi kewangan negara, selaras dengan hak – hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di samping memudahkan pemberian khas tahunan kepada Sarawak mengikut Perkara 112 D Perlembahgaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Wan Junaidi akan mengkaji dengan lebih lanjut.

“Beliau juga akan memberikan pandangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan ianya dilaksanakan,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.