Permohonan Willie Mongin sertai PBB diterima

Spread the love

KUCHING, 6 Ogos : Permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) telah diluluskan.

Yang Dipertua PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menyambut baik kehadiran Willie sebagai ahli baharu parti itu.

“Namun begitu, tiada komitmen yang akan diberikan kepada Willie setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Tertinggi Parti PBB di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, keputusan itu telah dibincangkan dan dipersetujui ketika mesyuarat berkenaan.

Sebelum ini,  Willie mengesahkan beliau telah mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB pada 20 Jun lalu.

Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika bersama PKR namun memilih untuk meninggal parti itu dan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.