PCDS 2030 Sarawak diperkenalkan kepada UNDP

Spread the love

KUCHING, 6 Ogos : Sarawak memperkenalkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menjadi teras kemajuan negeri ini kepada wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Perkara tersebut dikongsikan kepada Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kanni Wignaraja ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Datu Len dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Lawatan kerja berkenaan juga merupakan lawatan timbal balas lanjutan dari sesi perbincangan dua hala (bilateral meeting) di antara delegasi Kerajaan Sarawak bersama UNDP yang telah diadakan di New York, Amerika Syarikat pada 19 Julai lalu.

Menerusi lawatan itu, Datu Len telah mengambil peluang memperkenalkan PCDS 2030 dalam usaha kerajaan negeri membangunkan Sarawak berteraskan kepada struktur ekonomi, kemudahan perniagaan, sasaran perbelanjaan, mengoptimumkan aset dan modal insan, digital dan pelaksanaan, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Kita telah berkongsi tentang beberapa inisiatif kerajaan negeri dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar seperti program pendidikan dan kesedaran Belia terhadap kelestarian alam sekitar oleh Jabatan Hutan Sarawak, Natural Resources and Environment Board, Sarawak Forestry Corporation dan Sarawak Biodiversity Centre.

“Antaranya merangkumi program penanaman semula hutan, projek tukun tiruan dan banyak lagi yang mana mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian turut bekerjasama erat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah UNDP melalui projek Sarawak Biodiversity Masterplan yang mana kini di peringkat perlaksanaan dan State Urban Development Policy dalam peringkat penilaian kertas cadangan.

Inisiatif-inisiatif tersebut jelasnya adalah bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan dan lestari serta seimbang dari semua aspek bagi negeri Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.