Kuching terus kecapi pembangunan pesat selepas 34 tahun

Spread the love

KUCHING, 6 Ogos : Ibu negeri Sarawak telah mengecapi pembangunan pesat selepas 34 tahun menerima status bandar raya, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, bermula sebagai pekan kecil, kini Kuching telah muncul sebagai antara bandar utama di Malaysia.

“Kita dapat menyaksikan transformasi apabila Kuching menjadi bandar pintar yang bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-34 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Sementara itu, Abang Johari  memberitahu, Kerajaan Sarawak juga akan membangunkan bandar – bandar lain di negeri ini termasuk Sibu supaya dapat berkembang setanding Kuching.

“Kita juga berhasrat untuk menjadikan Miri dan Sibu sebagai bandar pintar.

“Kawasan ini akan dikembangkan dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan dan penambahbaikan sistem pengangkutan awam supaya menjadi bandar yang mudah untuk dihubungkan,”katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, usaha berterusan kerajaan negeri mempromosikan Kuching juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ibu negeri Sarawak ini telah disenaraikan dalam Rangkaian Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori gastronomi.

Seterusnya beliau berkata, pembangunan Kuching juga akan diperluaskan dengan konsep pembangunan mampan meliputi tujuh bidang kreatif iaitu seni kraft, media, filem, reka bentuk, kesusasteraan, muzik dan gastronomi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.