Kerajaan Sarawak berminat bekerjasama dengan MINDEF kukuhkan pertahanan

Spread the love

KUCHING, 6 Ogos : Kerajaan Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi menjayakan perancangan berkaitan industri pertahanan di negeri ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein berkata, susulan itu kementeriannya akan menghantar pasukan ke Sarawak dalam masa terdekat bagi membincangkannya perkara itu dengan lebih lanjut.

Hishammudin berkata, menerusi pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini, tiga isu utama membabitkan soal keselamatan di negeri ini dibincangkan.

“Pertama, soal keselamatan Sarawak, saya sekali lagi mengulangi komitmen kepada seluruh rakyat Sarawak bahawa fokus Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah pudar untuk terus melaksanakan perancangan terbaik demi meningkatkan tahap pertahanan ATM di sini.

“Pada masa yang sama, saya turut menyuarakan tekad Kerajaan Persekutuan untuk terus melangkah ke hadapan bersama Kerajaan Sarawak.

“Matlamatnya jelas, iaitu demi memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negeri Sarawak sentiasa terpelihara,”katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas bertemu Abang Johari di sini hari ini.

Sementara itu, Hishammudin memberitahu, antara langkah segera yang akan dilaksanakan termasuklah menambah aset ketenteraan khususnya di Bintulu.

Ujar beliau, perancangan terbaharu ATM untuk meningkatkan keberadaaan anggota dan aset membabitkan ketiga-tiga cabang itu bagi membolehkan ATM meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan maritim sekaligus memastikan instalasi strategik negara di perairan Sarawak terus terpelihara daripada sebarang ancaman telah dimaklumkan kepada Abang Johari.

“Seperti saya maklumkan semalam, demi memastikan usaha memelihara kedaulatan perairan di Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih holistik, Markas Wilayah Laut Timur (MAWILLA) 4 dirancang dibina secara berfasa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK13,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.