Jemaah haji Sarawak sebak setibanya di Kuching

Spread the love

KUCHING, 6 Ogos : Seorang jemaah haji warga emas Sarawak yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini semalam, tidak dapat menahan sebak kerana berasa terharu.

Zelumi Janudi, 64, dari Pulau Bruit memberi reaksi itu ketika ditanya pengalaman menunaikan Rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi kesempatan dan urusan di Tanah Suci dipermudahkan oleh Allah SWT,”katanya kepada TVS.

Zelumi merupakan antara 135 jemaah haji kumpulan kedua dari Sarawak yang tiba di KIA petang semalam.

Ketibaan kumpulan itu pada pukul 5.35 petang  disambut oleh Pengarah Tabung Haji (TH) Wilayah Sabah Sarawak, Datin Nurlaila Said dan Pengarah TH Sarawak, Amat Kassim Pait.

Kelmarin, seramai 141 jemaah haji Sarawak kumpulan pertama tiba di KIA dengan disambut oleh Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar .

Sementara itu, turut sebak ketika ditemu bual ialah Dayang Sulina Awang Salleh, 47, yang berpeluang menunaikan ibadah itu buat kali pertama.

“Saya berasa amat terharu dan berbesar hati kerana dapat menjejak kaki ke sana,”katanya.

Bagi Muhammad Ruzaini Selohi @ Sarbini, 31, yang merupakan antara jemaah termuda pula, dia turut berkongsi ujian yang ditempuhinya ketika berada di sana terutamanya membabitkan cuaca.

“Cuaca di Makkah lebih panas berbanding negara kita namun ianya tidak menjadi penghalang untuk menyelesaikan ibadah haji,”katanya.

Bagi Semawi Mohamad pula, pada mulanya dia turut bimbang dengan keadaan cuaca panas di Arab Saudi namun bersyukur urusannya dan jemaah lain dipermudahkan.

“Cuaca di Mina dan Arafah dianggarkan 40 hingga 50 darjah celsius, bila panas, ramai yang batuk dan demam.

“Namun Alhamdulillah dengan bantuan doktor serta perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Tabung Haji,urusan kami di sana dipermudahkan,”katanya.

Pada tahun ini, seramai 14,306 orang jemaah Malaysia diberi kebenaran oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.