Premier Sarawak terima kunjungan MTDC 

Spread the love

KUCHING, 5 Ogos : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di pejabatnya di sini, hari ini.

Kunjungan hormat delegasi MTDC itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus bertujuan untuk berkongsi beberapa maklumat selain perbincangan untuk bekerjasama dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Norhalim berkata, antara kerjasama yang telah dijalinkan antara MTDC dan SDEC adalah dalam bidang industri 4.0 selain mengenal pasti beberapa syarikat pakar robotik dan cetakan 3D.

Tambah beliau, MTDC turut bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk membolehkan pelajar universiti berkenaan terlibat dalam program kejuruteraan.

“Menerusinya pelajar UNIMAS mendapat pendedahan dan latihan kejuruteraan untuk membangunkan mesin yang boleh dinaiktaraf untuk kegunaan industri kecil dan sederhana.

“Ini melibatkan mesin manual ke mesin automatik,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di Petrajaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Sudarnoto Osman. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.