Keselamatan Sarawak jadi keutamaan Kementerian Pertahanan – Hishammudin

Spread the love

KUCHING, 5 Ogos : Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein menegaskan, soal keselamatan di Sarawak sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan.

Kata Hishammudin, kementeriannya juga bersedia untuk memenuhi keperluan Sarawak dalam aspek berkenaan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mengadakan kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg esok bagi membincangkan perkembangan terkini soal keselamatan di Sarawak.

“Sekurang- kurangnya (pertemuan dengan Abang Johari) dapat meyakinkan rakyat Sarawak bahawa dalam apa jua keadaan, mereka boleh berharap kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (untuk mempertahankan wilayah Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Poliklinik Kesihatan ATM Kem Penrissen di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat di Sarawak meminta Kerajaan Persekutuan lebih tegas dalam menangani isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan kerana jelas mencabul kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Hishammudin mendedahkan, Kerajaan Persekutuan telah merangka strategi tertentu untuk meningkatkan tahap keselamatan di Sarawak.

“Dalam konteks Sarawak, saya akan edarkan apa yang dirancang (oleh Kementerian Pertahanan), perkara ini sesuatu yang kita tidak ambil mudah.

“Ini akan saya bawa kepada Premier Sarawak esok,”katanya.

Berhubung poliklinik berkenaan, Hishammudin memberitahu, projek yang bernilai RM28.4 juta mula dibina pada  2017 dan dijangka akan memanfaatkan lebih 12,000 anggota ATM di negeri ini.

“Ini juga merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan dan ATM bagi mengurangkan tahap kebergantungan di hospital-hospital kerajaan, Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) serta Hospital Angkatan Tentera (HAT),”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.