Jualan murah sempena JAKM Sarawak jadi tumpuan pengunjung

Spread the love

KUCHING, 5 Ogos : Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini meriah dengan kehadiran pengunjung sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sarawak yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Antara yang paling mencuri tumpuan orang ramai ialah Program Jualan Keluarga Malaysia yang mana barangan keperluan asas dijual dengan harga yang lebih murah.

Tinjauan TVS mendapati orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli barangan asas bermula pukul 9 pagi tadi.

Bagi peniaga burger, Hang Tuah Enggo, 57, walaupun keadaan agak sesak, namun dia tetap berbaris untuk mendapatkan barangan asas yang diperlukan seperti telur ayam dan minyak masak.

“Saya mungkin akan datang lagi esok untuk membeli barangan yang saya perlukan untuk perniagaan burger.

“Program ini sangat bagus kerana membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah seperti saya,” katanya kepada TVS.

Bagi pekerja swasta, Nur Syarafana Bong Abdullah, 40, dia dan rakan-rakannya juga berminat dengan program jualan murah yang diadakan sempena JAKM di sini.

“Saya datang untuk membeli dua paket minyak masak kerana had ditetapkan seorang boleh beli dua sahaja,” katanya.

Sementara itu, terdapat juga pameran oleh 28 kementerian dan agensi selain jualan usahawan makanan dan minuman yang melibatkan penyertaan sebanyak 80 buah syarikat.

Selain itu, program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 juga diadakan sepanjang tiga hari JAKM berlangsung, yang menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor di Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan akan merasmikan majlis penutupan yang akan turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Ahad ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.