Sudah tiba masa Nauraj kembali berlatih di Malaysia

Spread the love

BIRMINGHAM, 4 Ogos : Susulan prestasi kurang memberangsangkan jaguh lompat tinggi kebangsaan sejak kebelakangan ini, Nauraj Singh Randhawa yang menjalani latihan di Jerman, perlu pulang ke Malaysia sekiranya mahu kembali berada pada tahap sebenarnya.

Pengurus pasukan olahraga kebangsaan di Sukan Komanel Birmingham 2022, M. Iyaru secara peribadi berpendapat Nauraj telah membuktikan beliau lebih menyinar sekiranya menjalani program di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) berbanding latihan sendiri di Jerman ketika ini.

Katanya, prestasi Nauraj ketika menjalani latihan di MSN sangat mengagumkan termasuk memecah rekod kebangsaan iaitu 2.30 meter (m) yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura pada 2017.

Iyaru juga difahamkan Nauraj tidak menghantar laporan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai prestasi terkininya di Jerman.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku padanya di Jerman, sepatutnya tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas acara final lompat tinggi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander, di sini, malam tadi.

Nauraj menampilkan aksi mengecewakan apabila menjadi atlet pertama tersingkir daripada 13 peserta yang bersaing dalam acara final, sekali gus menduduki tangga tercorot dengan catatan terbaik dan juga pertamanya iaitu 2.05 meter (m).

Beliau tersingkir selepas gagal dalam kesemua tiga percubaan bagi melepasi lompatan kedua iaitu 2.10m.

Nauraj ketika ditemui pemberita selepas aksi final mendedahkan mengalami kecederaan tumit sehingga menjejaskan prestasinya dalam penampilan ketiganya di temasya sukan berprestij itu selepas Glasgow 2014 dan Gold Coast 2018.

Lebih mengejutkan, Iyaru memaklumkan Nauraj yang dilihat bersemangat untuk memadam rekod kebangsaannya di sini, tidak memaklumkan status kecederaan dialami sebelum turun bertanding.

Justeru, Iyaru yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap prestasi Nauraj mahu atlet itu bersikap jujur selepas ini.

“Jika gagal seperti ini memang mengecewakan, anda mesti memahami (harapan) seluruh negara, kita perlu jawab nanti (prestasi Nauraj di Birmingham),” tambahnya.

Sementara itu, Iyaru menyarankan agar KOM duduk berbincang bersama atlet berusia 30 tahun itu untuk menyelami masalah dihadapi serta masa depannya dalam sukan ini sehingga menyaksikannya gagal membuktikan tahap keupayaannya termasuk sekadar meraih perak pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, sekali gus mengakhiri dominasi Malaysia pada temasya dwitahunan itu sejak edisi Manila 2005. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.