Suasana suram kem negara pada hari keenam, ‘angkatan emas’ Bonnie ditagih

Spread the love

BIRMINGHAM, 4 Ogos : Hari keenam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang berlangsung pada Rabu (3 Ogos), menyaksikan suasana suram buat kontinjen negara tanpa sebarang kutipan pingat semalam.

Dua wakil negara yang beraksi di pentas final dalam acara angkat berat dan olahraga gagal menyumbangkan pingat kepada Malaysia, sekali gus menyaksikan pungutan pingat keseluruhan kekal dengan tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.

Pada saingan akhir hari ini, Muhammad Hafiz Shamsuddin gagal meneruskan kecemerlangan skuad angkat berat apabila menamatkan cabaran dalam kategori 109 kilogram (kg) lelaki di tempat ke-10 daripada 11 peserta.

Acara angkat berat yang berakhir hari ini, menyaksikan pasukan negara menamatkan cabaran pada edisi Birmingham dengan kutipan dua pingat emas dan satu perak, mengatasi pencapaian dua emas dan satu gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Sementara itu, jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berdepan aksi mengecewakan di Stadium Alexander di sini, apabila menjadi atlet pertama tersingkir daripada 13 peserta yang bersaing dalam acara final lompat tinggi lelaki, sekali gus menduduki tangga tercorot.

Skuad renang pula menamatkan cabaran di temasya kali ini, tanpa sebarang pingat selepas satu-satunya wakil negara Arvin Shaun Singh Chahal yang bertanding pada hari terakhir acara renang hari ini, gagal untuk berada dalam kelompok lapan terbaik ke final acara 200 meter (m) lelaki individu rampaian.

Selepas berakhir hari keenam, Australia masih gah dalam kedudukan pungutan pingat setelah mengumpul 46 emas, 38 perak dan 39 gangsa, diikuti tuan rumah, England 38-28-29, sementara Kanada merampas kedudukan ketiga dari New Zealand selepas mengutip 16-20-21.

Memasuki hari ketujuh temasya esok, kontinjen negara mengharapkan angkatan terbaik daripada jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin bagi menghadiahkan emas, sekali gus mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam acara itu pada temasya Sukan Komanwel.

Di Sukan Paralimpik Tokyo, tahun lepas, Bonnie mencipta sejarah menjadi atlet pertama negara memenangi emas di temasya berkenaan selepas mengungguli kategori 72kg dengan angkatan 228kg sekali gus memperbaharui rekod temasya.

Bonnie yang berasal dari Sarawak adalah pemegang rekod dunia dalam kategori sama dengan angkatan 230kg.

Tumpuan juga pasti terarah kepada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg, yang akan turun beraksi dalam acara 10 meter (m) platform wanita, bermula dengan pusingan kelayakan dan seterusnya final. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.