Polis bermasalah ditukarkan ke Sarawak, Bukit Aman akan putuskan – Pesuruhjaya Polis Sarawak

Spread the love

KUCHING, 4 Ogos : Keputusan pertukaran sembilan anggota polis bermasalah ke Sarawak dan Sabah akan ditentukan oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya telah memberi kenyataan kepada pihak Kerajaan Negeri berhubung perkara berkenaan.

“Kami juga telah rujuk (perkara tersebut) kepada (Ibu Pejabat) Bukit Aman dan mereka akan tentukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Semalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak menegaskan, kerajaan negeri menyambut baik usaha PDRM untuk menambah bilangan anggotanya untuk tujuan kesejahteraan rakyat di sini namun tidak mahu anggota yang dihantar ke sini terlibat kes salah laku.

Baca > > > Sarawak ‘tolak’ kemasukan polis ‘bermasalah’ berkhidmat di negeri ini

Semalam Azman turut menjelaskan setakat ini belum ada di kalangan anggota berkenaan yang melaporkan diri di Sarawak.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Polis Selangor, Dato S Sasikala Devi dilaporkan berkata, sembilan anggota polis yang terlibat dalam kes peras ugut akan ditukarkan kepada beberapa balai polis di Sarawak dan Sabah.

Kenyataan itu sekaligus mengundang reaksi kurang senang rakyat Sarawak yang menyatakan kekesalan mereka menerusi media sosial. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.