PDRM kaji semula pertukaran ‘polis bermasalah’ ke Sabah dan Sarawak – Acryl Sani

Spread the love

KOTA KINABALU, 4 Ogos : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji semula pertukaran sembilan anggotanya yang dikaitkan dengan kes tatatertib ke Sabah dan Sarawak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum bantahan oleh kerajaan di kedua – dua negeri berkenaan.

Sehubungan itu katanya, keputusan kajian itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Baca > > > Polis bermasalah ditukarkan ke Sarawak, Bukit Aman akan putuskan – Pesuruhjaya Polis Sarawak

“Ramai yang tertanya – tanya berkenaan perkara ini dan ingin saya maklumkan, kami (PDRM) telah meneliti secara lebih terperinci.

“PDRM telah menerima maklum balas daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak serta akan memaklumkan perkembangan isu ini,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Dato Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Kastam, Dato Zazuli Johan.

Baca > > > Sarawak ‘tolak’ kemasukan polis ‘bermasalah’ berkhidmat di negeri ini

Semalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak menegaskan, kerajaan negeri menyambut baik usaha PDRM untuk menambah bilangan anggotanya untuk tujuan kesejahteraan rakyat di sini namun tidak mahu anggota yang dihantar terlibat dengan kes salah laku.

Isu berkenaan timbul selepas sebuah akhbar melaporkan pada Selasa, Timbalan Ketua Polis Selangor, Dato S Sasikala Devi berkata, sembilan anggota polis yang terlibat dalam kes peras ugut akan ditukarkan kepada beberapa balai polis di Sarawak dan Sabah. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.