Muzium beri sumbangan penting kepada Sarawak menuntut hak MA63 – Abang Johari

Spread the love

LIMBANG, 4 Ogos : Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan muzium merupakan gedung yang penting kerana menyimpan pelbagai data, fakta dan arkib untuk menjadi rujukan pembangunan Sarawak.

Premier Sarawak itu berkata, ini terbukti dalam perjuangan menuntut hak – hak terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana Sarawak telah mendapatkan ‘dokumen -dokumen’ yang diperlukan di Muzium Arkib London.

Ujar Abang Johari, beliau telah menghantarkan peguam Sarawak ke London untuk meneliti rekod-rekod (yang tersimpan berhubung MA63).

“Sekarang ini selepas lebih 50 tahun (rekod berkenaan) boleh dibuka, tidak ada rahsia lagi dan kita mengambil data dan maklumat daripada muzium itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muzium Limbang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Muzium Limbang yang bernilai RM6.39 juta ini mula dibina pada 2019 menempatkan galeri pentadbiran dan pembangunan bermula era pemerintahan Kerajaan Rajah Brooke, diikuti pembangunan sosio ekonomi Limbang, Trusan dan Lawas.

Sementara itu, Abang Johari berkata, muzium juga berperanan penting untuk menghubungkan generasi lama dan baharu.

“Muzium ada sumber rujukan generasi mendatang dalam memperbetulkan kelemahan untuk terus meletakkan Sarawak pada landasan lebih baik untuk menuju kemajuan menyeluruh,”katanya. -TVS 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.