Empat tokan dadah diberkas dalam Op Tapis Khas di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 4 Ogos : Polis Sarawak berjaya menahan empat tokan dadah yang disyaki mendalangi kegiatan pengedaran di beberapa kawasan di negeri ini.

Pesuruhajaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua suspek ditahan dalam Op Tapis Khas yang selama empat hari berakhir pada 29 Julai lepas.

Kata beliau, empat tokan itu merupakan antara 358 individu keseluruhan yang ditangkap atas pelbagai kesalahan.

“Mereka berempat yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 47 tahun disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu daripada jumlah tangkapan itu, seramai 330 merupakan lelaki manakala selebihnya wanita.

Katanya, operasi juga berjaya merampas 137.47 gram dadah jenis syabu, 1.85 gram ganja, 1.5 liter air ketum dan 34 batang pokok ganja yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM69 618.50.

“Rampasan tertinggi dicatatkan di Sibu iaitu dengan nilai RM56,420, diikuti Kuching sebanyak RM4,970.50 dan Miri dengan jumlah RM4,576,”katanya.

Sebanyak 67 peratus tangkapan juga didapati positif pelbagai jenis dadah, tambahnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.