Angkatan Tentera Malaysia sertai Garuda Super Shield 2022

Spread the love

PALEMBANG, 4 Ogos : Tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai Latihan Ketenteraan Bersama (LATMA), Garuda Super Shield 2022 selama dua minggu di Sumatera Selatan, bermula semalam.

Acara latihan berskala besar kelolaan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang dilangsungkan di Pusat Latihan Tempur TNI Baturaja itu melibatkan keseluruhan 4,337 anggota tentera dari 14 negara.

Selain Indonesia dan Malaysia, negara lain yang menghantar wakil termasuklah Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Singapura, Perancis, England, Papua New Guinea, Timor Leste, India, Kanada, New Zealand dan Korea Selatan.

Panglima TNI, Jeneral Andika Perkasa berkata, latihan berkenaan diyakini dapat mengeratkan kerjasama membabitkan pasukan ketenteraan negara – negara yang terlibat.

“Garuda Shield merupakan latihan bersama tahunan antara TNI dengan melibatkan negara-negara di kawasan Indo Pasifik bagi memperkukuh keupayaan dan kerjasama dalam sebarang operasi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian.

Garuda Shield meliputi latihan dalam operasi serangan, operasi amfibia, operasi taktikal, operasi udara dan meningkatkan keupayaan askar dalam hal perubatan hingga komunikasi.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.