Sudah tiga kali rumah Zalina diperiksa namun buntu – Polis

Spread the love

SHAH ALAM, 3 Ogos: Polis belum menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung kes kehilangan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Iqbal Ibrahim berkata , sehingga kini pihaknya telah melakukan tiga kali pemeriksaan ke atas rumah wanita tersebut.

“Pemeriksaan terakhir dilakukan di rumah orang hilang (OH) pada 28 Julai lalu namun tiada petunjuk dan penemuan baharu,” katanya yang dihubungi hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Dilaporkan, polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina Shaharah, 58, atau dikenali sebagai Zalina Azman daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Polis mempercayai Zalina Shaharah masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.