Pemimpin perlu jauhi sifat anai – anai, kata Abang Johari

Spread the love
KUCHING, 3 Ogos : Premier Sarawak mengingatkan pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir Sarawak supaya melaksanakan tugas berkenaan dengan sebaiknya.
 
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemimpin juga tidak boleh memiliki sifat anai-anai atau perosak.
 
Ujar beliau, sekiranya terdapat pemimpin bersikap sedemikian, ianya akan memberi kesan buruk kepada pembangunan dan rakyat negeri ini.
 
“Alhamdulillah, di Sarawak tidak ada (pemimpin) yang bersikap anai – anai dalam membangunkan negeri ini,”katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Surau Darul Ehsan, Kampung Bunga Raya, Limbang, hari ini.
 
Sementara itu, Abang Johari turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh rakyat Sarawak terhadap kepimpinan beliau.
 
“Selepas saya mengambil alih kepimpinan daripada Tok Nan (Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) dan mendapat keyakinan daripada rakyat berbilang kaum dan agama, ini menjadi semangat kepada saya dan rakan-rakan untuk bekerja keras membangunkan Sarawak,”katanya.
 
Pada masa sama, Abang Johari berkata, beliau berasa terharu kerana rakyat Sarawak memberi kepercayaan kepadanya yang merupakan ‘anak Limbang’ untuk mentadbir negeri terbesar di Malaysia ini.
 
Sementara itu, Abang Johari memberitahu, Limbang turut menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak apabila pelbagai projek pembangunan akan dilakukan di kawasan ini.
 
Jelas Abang Johari, meskipun baharu mentadbir Sarawak dalam tempoh lima tahun, beliau sudah mempunyai rancangan untuk membangunkan bahagian Limbang di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
 
“Peruntukan untuk pembangunan yang dirancang ialah sebanyak RM1.5 billion, termasuk menyediakan infrastruktur jalan raya sehingga ke Lawas,”katanya.-TVS
 
 
 
 
 
 

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.