Najis tikus berdekatan bahan memasak di restoran nasi kandar

Spread the love
GEORGE TOWN, 3 Ogos : Sebuah restoran nasi kandar di Tanjung Bungah di sini diarahkan untuk ditutup selama 14 hari selepas pihak berkuasa menemui najis tikus berdekatan bahan masakan di premis itu hari ini.
Najis tikus tersebut ditemui di atas meja berdekatan cucur yang menjadi salah satu bahan bagi menu mi goreng di restoran itu.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M. Bawani berkata, restoran berkenaan diarahkan tutup buat kali ketiga kerana gagal mematuhi tahap kebersihanan biarpun amaran telah diberikan pihaknya.
“Sehubungan itu, hari ini kita lakukan penutupan premis kerana pemilik premis dilihat masih degil biarpun amaran dan kompaun telah diberikan sebelum ini.
“Bukan saja najis tikus ditemui di hampir keseluruhan premis, malah keadaan lantai dapur memasak juga menjijikkan selain perkakasan berkarat ditempatkan berhampiran bahan masakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.
Restoran terbabit adalah antara empat premis makanan yang diarahkan ditutup selama dua minggu mengikut Undang-Undang Kecil Establishment Makanan 1991.
Dalam pada itu, Bawani berkata, pihaknya turut mendapati tikus dan lipas berkeliaran di bahagian dapur serta tandas dalam pemeriksaan di premis nasi campur dan restoran nasi daun pisang di Jalan Utama di sini.
“Restoran nasi daun pisang itu sudah lebih lima kali dikompaun atas pelbagai kesalahan berhubung kebersihan, namun masih tidak menunjukkan perubahan.
“Manakala pemeriksaan di premis makanan nasi campur pula membawa kepada penemuan puluhan anak lipas di tempat penyimpanan cili kisar,” ujarnya. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.