Lelaki baran tetak kereta di Jalan Upper Lanang ditahan polis

Spread the love

SIBU, 2 Ogos : Tindakan luar kawalan seorang lelaki menetak sebuah kereta di Jalan Upper Lanang di sini, pagi tadi mengundang padah apabila dia berjaya ditahan oleh polis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditangkap di rumahnya di Jalan Sukun pada pukul 1 petang tadi.

Katanya, suspek yang memandu sebuah kereta Perodua Kancil dikatakan tidak berpuas hati selepas pengadu membunyikan hon kenderaannya semasa kejadian.

“Pihak polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 37 tahun yang mendakwa keretanya telah ditetak oleh suspek yang tidak dikenali di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, beliau memberitahu, polis menyerbu sebuah rumah sebelum menahan suspek.

Katanya sebilah parang turut dirampas sebagai barang kes.

Zulkipli berkata, suspek akan direman esok (3 Ogos) bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan. -TVS

Tags: polis, sibu, tetak

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.