KPDNHEP semak semula, tambah baik garis panduan industri kecantikan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 3 Ogos : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyemak semula dan membuat penambahbaikan terhadap Garis Panduan Industri Kecantikan yang dikeluarkan pada 2013.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata beberapa sesi libat urus bersama pemain industri dan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuklah Association of International Certified Aesthetician (AICA) telah diadakan bagi penambahbaikan itu.

“Cadangan penambahbaikan Garis Panduan Industri Kecantikan ini adalah selaras dengan peranan KPDNHEP sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri yang tidak dikawal selia, untuk meningkatkan pembangunan industri kecantikan di negara ini berdasarkan kepada peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) sekiranya kementerian berkenaan bercadang mengiktiraf AICA untuk self-regulate (kawal selia sendiri) industri kecantikan di negara.

Rosol berkata KPDNHEP mengalu-alukan sebarang cadangan penambahbaikan dan ia akan diperhalusi pihak kementerian itu secara menyeluruh menerusi penglibatan sesi libat urus dengan KKM, Jabatan Tenaga Kerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri dalam usaha memastikan industri kecantikan dapat berkembang pesat selari dengan perkembangan di peringkat global.

Pada masa sama, Rosol berkata kementerian itu turut menggalakkan industri kecantikan untuk berkembang ke arah self-regulate selaras dengan Pelan Hala Tuju KPDNHEP 2022-2025.

“Walaupun begitu, memandangkan industri kecantikan ini melibatkan prosedur atau aktiviti berkaitan dengan keselamatan pengguna seperti rawatan invasif serta bukan invasif, kementerian akan dan telah mengadakan perbincangan lanjut bersama KKM dan juga badan-badan berkaitan untuk mencari kaedah terbaik dalam mengawal industri kecantikan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini, KPDNHEP menerima sebanyak 661 kes yang berkaitan dengan hal-hal kecantikan dan estetik.

“Dalam rekod kita, tuntutan berkaitan estetik adalah tuntutan kelima tertinggi di TTPM (Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia). Jadi kita sedang merancang untuk mengawal selia perkara ini supaya pengguna terbela dan perniagaan ini tidak terjejas,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Madius adakah terdapat keperluan untuk mengadakan sistem self-regulate industri kecantikan di Malaysia dan bilakah kerajaan mahu melaksanakannya. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.