Kedai di Jalan Song dan Bau diserbu KPDNHEP disyaki sorok minyak masak bersubsidi

Spread the love

KUCHING, 3 Ogos: Dua premis perniagaan di Sarawak diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini kerana disyaki menyorok dan menjual minyak masak bersubsidi dengan pembelian bersyarat.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Peter J Berinus Agang berkata dalam kes pertama, sebuah premis perniagaan di kawasan Bau telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan bekalan 1961 iaitu menyorok barang kawalan bersubsidi minyak masak polibeg satu kilogram.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya merampas sejumlah 336 kilogram minyak masak subsidi polibeg satu kilogram bernilai RM840 daripada premis berkenaan.

Menurut Peter, sebuah lagi premis perniagaan di Jalan Song di Kuching disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu kesalahan menjual barang kawalan dengan mengadakan pembelian bersyarat.

Beliau berkata dalam kes itu, sejumlah 693 kilogram minyak masak subsidi polibeg satu kilogram bernilai RM1,732 turut dirampas.

“Kedua-dua kes ini, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Peter memberi amaran keras kepada mana-mana individu serta syarikat supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan bersubsidi bagi mengelak dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Masyarakat disaran menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat bagi memastikan penyelewengan berkenaan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.