Tun Taib lancarkan Tabung Hari Pahlawan Sarawak 2022

Spread the love

KUCHING, 2 Ogos: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini melancarkan Tabung Pahlawan 2022 bersempena Hari Pahlawan 2022

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, pihaknya berharap agar tabung berkenaan akan memberi suntikan semangat kepada ahli-ahli PVATM di Sarawak yang seramai 8,800 orang.

Katanya, terdapat 22 buah cawangan PVATM di negeri ini dengan ibu pejabatnya di Kuching.

“PVATM bertanggungjawab menjaga kebajikan setiap ahli yang memerlukan bantuan di Sarawak.

“Oleh itu, kita berharap dengan pelancaran tadi, ianya akan dapat mendorong penderma-penderma termasuklah tokoh korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta untuk turut menyumbang kepada tabung pahlawan ini dan seterusnya kita dapat memberi bantuan kepada veteran tentera yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Tun Taib di kediamannya di sini hari ini.

Sharuddin berkata, Sarawak telah memberi sumbangan yang besar kepada negara melalui penyertaan anak-anak negeri ini sebagai anggota tentera.

“Mereka bertugas menjaga keamanan tidak kira di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,”katanya.

Beliau turut memberitahu, PVATM akan menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun ini, manakala PVATM Sarawak pula mencapai usia 64 tahun penubuhannya.

Sementara itu, Tun Taib Mahmud turut menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA).

Kunjungan itu bertujuan untuk menjemput Tuan Yang Terutama itu hadir ke Majlis Kenangan Kubu-kubu dan Pekan-pekan Bersejarah Baram dan Majlis Tanam Pokok Kelapa Serta Pokok Kayu di Loagan Bunut. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.