Wanita Orang Asli diserang gajah liar, kerajaan negeri serah kepada Perhilitan

Spread the love

IPOH, 1 Ogos: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak bagi mengatasi isu gajah liar susulan seorang wanita Orang Asli cedera parah diserang haiwan tersebut di Gerik, Sabtu lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perbincangan akan diadakan bersama Pengarah Perhilitan bagi mendapatkan pandangan yang lebih baik kerana pemindahan gajah bukan penyelesaian yang muktamad. 

“Perhilitan lebih pakar bagaimana mahu mengelakkan gajah daripada masuk ke dalam kampung. Menghalau haiwan liar itu bukan perkara yang mudah kerana lokasi tersebut merupakan habitatnya.

“Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar ini di dalam hutan dan penduduk di sana berkongsi hidup dengan gajah dan ini bukan kali pertama haiwan itu masuk. Orang kampung pula perlu berhati-hati pergi ke tempat ada gajah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Bersama Bekas Tentera di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Ulu Kinta di sini hari ini.

Saarani berharap agar pihak Perhilitan akan mengambil inisiatif dan melihat cara mengelakkan haiwan tersebut daripada mengganggu penduduk kampung.

Dilapor, seorang wanita Orang Asli berusia 30 tahun patah tangan dan kaki kanan serta lebam di bahagian perut akibat diserang seekor gajah liar di belakang rumahnya di Kampung Katong RPS Kemar, Gerik pada kira-kira 6.30 petang Sabtu lepas.

Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.