Sektor pertanian perlu manfaatkan teknologi moden

Spread the love

TAWAU, 1 Ogos: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mahu sektor pertanian di Sabah memanfaatkan penggunaan teknologi moden seperti di Semenanjung yang kini telah mencapai tahap 90 peratus.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sektor pertanian perlu bergerak seiring dengan teknologi untuk peningkatan hasil yang lebih banyak sehingga tiga kali ganda.

Menurutnya, penggunaan teknologi dalam industri pertanian bukan hanya mampu melonjakkan hasil pendapatan para petani malah yang lebih penting dapat menampung dan menambah bekalan makanan negara ini.

“Saya nak menyeru mengajak kepada rakan-rakan para petani supaya gunakan teknologi-teknologi yang sedia ada di dalam negara kita dan teknologi ini digunakan di semenanjung jauh lebih banyak lebih kehadapan berbanding Sabah,” katanya ketika lawatan kerja ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau.

Katanya, teknologi pertanian kini tidak hanya tertumpu dengan penggunaan sistem fertigasi semata-mata malah terdapat teknologi yang mula menggunakan hanya telefon pintar untuk melakukan proses penyiraman dan pemantauan tanaman.

“Kalau kita menggunakan teknologi menyiram seperti menggunakan telefon sahaja untuk memantau tanaman tanpa perlu dilakukan secara manual dan turun ke kawasan sudah pasti menjimatkan kos dan tenaga,” katanya lagi.

Terdahulu ketika berucap pada program itu, beliau mahu Jabatan Pertanian Sabah mengenalpasti kawasan tanah yang luas untuk mewujudkan TPKM baharu bagi membantu melahirkan lebih tamai rakyat menjadi petani moden. – TVS

Tags: mafi, sabah

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.