Rakyat Sarawak perlu rebut peluang ditawarkan Jelajah AKM Sarawak

Spread the love

KUCHING, 1 Ogos : Karnival Kerjaya Jamin Kerja dijangka menjadi tumpuan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak pada 5 hingga 7 Ogos ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat di Bumi Kenyalang ini untuk merebut peluang dan manfaat yang ditawarkan di siri ketujuh Jelajah AKM itu berlangsung di Dataran Perayaan, Petra Jaya.

“Dalam Jelajah AKM Kelantan baru-baru ini, saya difahamkan lebih 1,000 permohonan. Saya harap bagi siri kali ini Kerajaan Negeri dan institusi pendidikan bersama agensi pusat dapat memberikan tawaran pekerjaan, seiring dengan potensi rakyat Sarawak.

“Rakyat Sarawak perlu mengikuti perkembangan jelajah AKM ini dan meraih peluang yang ditawarkan di program ini,” katanya dalam program terbitan sebuah stesen televisyen di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, AKM Sarawak dianjurkan kementeriannya bersama Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

Katanya terdapat 28 reruai dan enam kaunter bergerak akan ditonjolkan sebagai melengkapi pengisian di tiga pentas utama dan khemah-khemah khas, yang antara lain memperkenalkan inovasi baharu dalam pembinaan jalan raya.

Pengarah Eksekutif SEPADU Jabatan Perdana Menteri Wan Azilawati Wan Mahmood memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan turut menganjurkan program jualan murah barangan keperluan dengan diskaun harga antara 15 dan 30 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka merasmikan program itu pada 7 Ogos ini dan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.