Pinda akta, guna teknologi tertentu perkukuh perlindungan data peribadi – Annuar

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Langkah lanjut untuk mengekang jenayah pencerobohan data peribadi termasuk meminda beberapa fasal dalam akta berkaitan adalah bagi membolehkan penguatkuasaan yang lebih kukuh, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pada masa sama, penggunaan teknologi tertentu juga boleh diteliti untuk mengukuhkan lagi usaha pelindungan data peribadi.

“Pengalaman kita sehingga 2021, kita akui hampir 100 juta data yang terbukti telah dicerobohi malah berlaku beberapa kali dan tindakan mengikut undang-undang, termasuk mendenda pihak yang melakukan kecuaian yang mengakibatkan pecerobohan data, telah diambil.

“Isu ini berlaku secara berterusan dan kita faham ia agak rumit untuk diatasi tetapi memerlukan langkah yang lebih lanjut untuk dikekang,” katanya ketika ditanya mengenai isu itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen hari ini.

Annuar, yang juga pengerusi pasukan khas itu, berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertanggungjawab bagi data peribadi di sektor komersial manakala data lain adalah tanggungjawab di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Jabatan Perdana Menteri. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.