Jenazah Abdul Khalid selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam

Spread the love

SHAH ALAM, 1 Ogos : Jenazah bekas Menteri Besar Selangor Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam kira-kira 2.30 petang tadi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke makam berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat zohor dengan dipimpin oleh imam besar masjid tersebut Muhammad Farhan Wijaya dan disertai ratusan jemaah termasuk ahli keluarga dan sahabat handai.

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Selangor.

Terdahulu, jenazah Menteri Besar ke-14 Selangor itu tiba di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara, kira-kira 6 pagi tadi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Abdul Khalid meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham Abdul Khalid, 76, telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan kuman pada injap jantung. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.