TDM jual unit operasi Indonesia pada RM115 juta

Spread the love

KUALA TERENGGANU, 31 Julai : TDM Bhd (TDM), anak syarikat kerajaan Terengganu dan seorang pemegang saham minoriti menandatangani perjanjian jual dan beli bersyarat (CSPA) bagi penjualan 100 peratus ekuiti dalam PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) yang bertapak di Indonesia, dengan Ikhasas Sawit Sdn Bhd.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata CSPA itu membabitkan pertimbangan tunai sebanyak RM115 juta.

“Berdasarkan penjimatan kos yang besar dan modal yang dijana daripada penjualan tersebut, TDM dapat menumpukan sumber dan perhatian kepada operasi syarikat di Malaysia.

“Ini termasuk inisiatif mengoptimumkan pengeluaran hasil tanah milik syarikat di Pantai Timur dengan mempelbagaikan usaha tanaman lain selain ladang kelapa sawit serta pengeluaran minyak sawit mentah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata dengan proses penjualan yang kini berjalan mengikut perancangan, TDM tekad untuk mempertingkatkan usaha mencipta dan menambah baik nilai bagi pihak berkepentingan pada masa hadapan.

TDM memiliki 93.8 peratus kepentingan dalam RKA yang diperbadankan pada 2007 selain 95 peratus pegangan dalam SRA yang ditubuhkan pada 2011, katanya.

Najman berkata bagaimanapun, RKA telah mengalami kerugian sejak diperbadankan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 manakala SRA pula mengalami kerugian sejak awal penubuhannya.

Selain CSPA, TDM turut menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan bersama PT Ikhasas Indo Makmur bagi pengambilalihan kawalan operasi ke atas aset-aset yang sedang dijual sementara menunggu proses tersebut selesai pada suku pertama tahun kewangan 2025.

Beliau berkata TDM akan memperolehi hasil kasar sebanyak RM112 juta daripada cadangan penjualan tersebut tidak termasuk bahagian pemegang saham minoriti.

Daripada jumlah itu, RM74.2 juta akan diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman berfaedah dan RM29.3 juta untuk modal kerja am manakala baki RM8.5 juta pula akan digunakan untuk perbelanjaan berhubung dengan pelaksanaan penjualan tersebut, katanya.

“Sementara itu, aturan perkhidmatan pengurusan akan membolehkan TDM menjimatkan sejumlah besar aliran tunai yang boleh dimanfaatkan untuk aktiviti lebih produktif di mana sebelum ini jumlah tersebut digunakan untuk mengendalikan dan menyelenggara RKA,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.