Kementerian Kerja Raya cari kaedah terbaik kurangkan risiko projek sakit

Spread the love

KUCHING, 31 Julai : Kementerian Kerja Raya sentiasa mencari kaedah terbaik bagi memastikan sebarang projek pembangunan yang dilaksanakan tidak berdepan risiko terbengkalai.

Menterinya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, setakat ini pelaksanaan sistem data kontraktor yang berdaftar dengan agensi kerajaan dilihat berjaya mengurangkan masalah projek terbengkalai hingga ke paras bawah lima peratus.

Sehubungan itu katanya, hasrat Kerajaan Sarawak yang mahu mewujudkan sistem serupa merupakan langkah yang baik bagi mengurangkan risiko projek sakit di bawah seliaan agensinya.

“Di Jabatan Kerja Raya (JKR), satu sistem telah diwujudkan iaitu Sistem Kontraktor Penyiap yang antara lain mempunyai rekod kontraktor yang baik dalam menyiapkan projek yang dianugerahkan kepada mereka.

“Kontraktor-kontraktor penyiap ini akan dinilai membabitkan aspek teknikal, kewangan dan rekod semasa mereka dalam menyiapkan projek tanpa sebarang masalah sebelum boleh disenaraikan sebagai kontraktor penyiap,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Maal Hijrah Komuniti Muslim Taman Banjaran Serapi di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan satu sistem perkongsiaan data kontraktor tempatan yang berdaftar dengan agensi kerajaan negeri.

Usaha itu katanya bagi memastikan projek kerajaan negeri tidak dianugerahkan kepada kontraktor bermasalah. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.