Keluarga Malaysia sudah lama diamalkan di Sarawak – Henry Jinep

Spread the love

KUCHING, 31 Julai : Keharmonian wujud di Sarawak menunjukkan konsep Keluarga Malaysia yang dipromosikan oleh Kerajaan Persekutuan kini.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep berkata, perpaduan erat yang dimiliki rakyat Sarawak itu merupakan budaya yang perlu dikongsi di seluruh negara.

“Kita perlu sebarkan kepada semua bahawa keharmonian yang diamalkan (di Sarawak) menunjukkan konsep Keluarga Malaysia sudah lama wujud di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyatuan Semula Pesara dan Bekas Pekerja Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 170 pesara dan bekas pekerja HDC diraikan.

Sementara itu, Henry berkata, rakyat perlu memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg demi pembangunan berterusan Sarawak.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Abang Johari untuk membawa Sarawak ke arah yang lebih baik termasuk merintis kerjasama dengan negara – negara luar.

“Ketika ini, Abang Johari berada di London untuk lawatan kerja dan mengkaji dengan lebih terperinci mengenai Dana Kekayaan Berdaulat yang dijangka mula ditubuhkan pada 2024,”katanya.

Beliau memberitahu, sebelum ini lawatan serupa ke Norway pada Mei dan Singapura pada 6 Julai lalu turut dilakukan oleh Abang Johari. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.