GRS sambut baik RUU Akta Anti Lompat Parti

Spread the love

KOTA KINABALU, 31 Julai : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyambut baik kelulusan Pindaan Pelembagaan Persekutuan berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kelulusan RUU itu akan memastikan kestabilan politik  di peringkat negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Kelulusan ini merupakan berita baik bagi kita kerana budaya lompat melompat ini sering menjadi faktor menumbang kerajaan sedia ada,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sabah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, hari ini.

Pada Khamis lepas, berlaku detik bersejarah di Dewan Rakyat apabila menerima kelulusan lebih dua pertiga terhadap Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, RUU berkenaan akan menamatkan episod lompat melompat yang menumbangkan kerajaan yang tidak dipilih secara demokratik.

“Kita di Sabah amat mengalu alukan akta ini” katanya.

Sementara itu ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak untuk segera membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari, Masidi berkata, kerajaan negeri perlu membuat kajian mendalam.

“Kita perlu duduk berbincang sebelum perkara ini dimuktamadkan di DUN Sabah, selepas itu keputusan boleh dibuat,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.