Bekas Menteri Besar Selangor meninggal dunia

Spread the love

KUCHING, 31 Julai : Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 11.08 malam ini, lapor Bernama.

Agensi berita nasional itu memetik sumber pengendali Facebook Abdul Khalid Ibrahim.

Facebook berkenaan memaklumkan, Abdul Khalid menghembuskan nafas terakhir di sisi semua ahli keluarganya.

“Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

“Beliau meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu,”demikian menurut hantaran di Facebook itu.

Turut dimaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

“Sejurus itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu turut menyebut atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.

Sebelum menyertai politik, Abdul Khalid merupakan tokoh korporat yang disegani di negara ini.

Bekas guru ini terkenal apabila menjadi sebahagian daripada ‘pasukan penting’ syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang berjaya dalam pengambilalihan secara mengejut syarikat perladangan Guthrie di London pada 1981.

Abdul Khalid Ibrahim ketika itu merupakan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) di PNB.

Langkah Abdul Khalid dalam dunia politik pula bermula pada 2007 apabila menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Selangor.

Bagaimanapun beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) 2008, Abdul Khalid sekali lagi bertanding di DUN berkenaan dan Parlimen Bandar Tun Razak dan membuat kebangkitan hebat apabila berjaya memenangi kedua-dua kerusi berkenaan.

Abdul Khalid seterus mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008 setelah Pakatan Rakyat merampas negeri itu daripada penguasaan BN.

Pada PRU13, Abdul Khalid bertukar kerusi apabila bertanding di DUN Pelabuhan Klang dan berjaya memenanginya malahan turut mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Pergolakan politik dalaman PKR yang tercetus setahun selepas itu menyaksikan Abdul Khalid dipecat daripada PKR kerana beliau didapati mengingkari arahan parti untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Beliau tidak bertanding pada PRU14. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.