Anas Popcorn kembangkan operasi di Kuching

Spread the love

KUCHING, 31 Julai : Perusahaan bertih jagung jenama Anas Popcorn yang semakin menjadi sebutan di Sarawak, kini meluaskan lokasi penjualannya di Petra Jaya.

Pengasasnya, Kawi Li berkata, langkah itu bertujuan untuk memudahkan pelanggan mereka di bandar raya ini untuk mendapatkan produk keluaran syarikat itu yang berpusat di Kota Samarahan.

“Bagi pelanggan yang berada di Kuching, anda boleh mendapatkan produk bertih jagung ini di Rend’s Burger, Metrocity yang juga merupakan salah satu ejen Anas Popcorn,” katanya ketika ditemui TVS semalam.

Sempena pembukaan rasmi lokasi jualan di Kuching, Anas Popcorn turut memberikan tawaran menarik apabila sebanyak 250 bungkusan bertih jagung dijual dengan harga murah, iaitu hanya 50 sen sebungkus, bermula pukul 2.30 sehingga 4.30 petang semalam.

Harga asal produk itu yang ditawarkan dalam beberapa perisa termasuk Classic Caramel, Premium Gula Apong dan Salted Egg dijual pada kadar RM10 sebungkus.

“Kami ingin menarik lebih ramai ejen baharu untuk mengembangkan perniagaan dan pada masa yang sama membantu mereka untuk menjana pendapatan melalui penjualan bertih jagung,”katanya.

Sementara itu, menurut pengasas Rend’s Burger, Renderar Derman berkata, keputusannya untuk menjadi ejen Anas Popcorn sangat tepat kerana berpeluang menambah pendapatan.

“Sejak menjadi ejen dua tahun lepas, saya menjana pendapatan sampingan selain mengekalkan penjualan produk burger milik saya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Zakaria Mohtar, 28, memberitahu, dia berminat untuk mencuba produk Anas Popcorn apabila melihat promosi jualan murah menerusi media sosial.

Bagi Reen Junaidi, 30, pula yang bekerja sendiri pula memberitahu, dia sanggup datang dari Kota Samarahan ke Metrocity di sini kerana promosi untuk membeli bertih jagung keluaran syarikat Kawi Recipes itu.

“Rasanya yang sedap dan tidak begitu manis membuatkan saya teringin datang ke sini untuk membeli Anas Popcorn,” katanya.

Untuk info lanjut, anda boleh juga melayari Facebook Popcorn Anas atau hubungi di talian, 011-35690600. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.