RUU Anti Lompat Parti : Hasrat beberapa negeri perkukuh demokrasi

Spread the love

PUTRAJAYA, 30 Julai : Hasrat beberapa negeri yang mahu meminda Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 turut dikuatkuasakan di negeri adalah langkah yang sihat bagi memperkukuhkan demokrasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyambut baik hasrat itu berkata pihaknya dimaklumkan empat negeri akan meminda Perlembagaan mereka iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata apabila rang undang-undang tersebut dikuatkuasakan kelak, ia tidak memaksa mana-mana negeri untuk mengikut tetapi mereka diberi kebebasan sama ada mahu mengikuti atau tidak.

“Kita di peringkat kerajaan Persekutuan tidak mengambil kuasa ini dari negeri.

“Pindaan telah dibuat kepada Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan serta kemasukan Fasal 1 yang kuat kuasa peruntukan ini di peringkat negeri hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan Raja atau Yang Dipertua Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan dengan memperoleh sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun antara yang berkata kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dikuat kuasa.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan semua negeri bagi menerangkan kebaikan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022.

“Sekiranya pihak kerajaan negeri nampak ia adalah baik, mereka akan mengikut langkah yang sama.

“Kerjasama dari negeri-negeri dilihat membolehkan rang undang-undang berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dapat diseragamkan dan dikuatkuasakan di peringkat negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara dijangka diadakan pada bulan depan iaitu sebelum bacaan pertama dan kedua.

“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU tersebut akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan untuk diperkenankan dan pewartaannya,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.