Penduduk rumah panjang diajar kemahiran teknikal

Spread the love

MUKAH, 30 Julai : Seramai 51 peserta yang terdiri daripada penduduk di 11 buah rumah panjang dan kampung tradisi diajar kemahiran teknikal menerusi Program Transformasi Kampung (VTP) yang dilaksanakan oleh Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Timbalan Pengarah Bahagian Akademik dan Industri CENTEXS, Dr Nadianatra Musa berkata, pihaknya bekerjasama dengan Unit Pemantauan Perlaksanaan Sarawak (SIMU), Jabatan Premier Sarawak menganjurkan program itu untuk penduduk di Mukah, Sibu dan Sarikei.

Katanya, program VTP selaras dengan visi untuk melahirkan generasi baharu yang mahir penguasaan ilmu kemahiran teknikal terutamanya di bandar dan luar bandar.

“Tiga kursus yang ditawarkan kepada peserta ialah Kursus Asas Pendawaian Elektrik, Kursus Penghasilan Pastri /Bakeri dan Kursus Pembuatan Simen Fero,”katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu semalam.

Beliau memberitahu, VTP siri pertama telah dilaksanakan di CENTEXS Kampus Mukah baru – baru ini selama lima hari bermula 25 Julai lepas.

Katanya, program itu berupaya untuk membantu penduduk di rumah panjang dan kampung di negeri ini untuk memajukan diri, keluarga dan seterusnya masyarakat setempat.

“Objektif utama VTP adalah memberi kursus latihan serta kemahiran pembelajaran kepada peserta untuk meningkatkan potensi berdikari dan mentransformasikan rumah panjang dan kampung tradisional kepada desa yang cemerlang dalam pelbagai aspek,”katanya.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan di bahagian lain pula selepas ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.