Ganjaran untuk atlet Sarawak yang menang pada Sukan Komanwel – Abdul Karim

Spread the love

KUCHING, 30 Julai : Kerajaan Sarawak akan menyediakan insentif kepada atlet negeri ini yang berjaya membawa pulang pingat pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bermula semalam hingga 8 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemberian itu merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada usaha keras atlet berkenaan.

Ujar beliau, ‘bonus’ yang akan diberikan tidak hanya melibatkan atlet Sarawak yang cemerlang pada Sukan Komanwel sahaja kerana akan turut melibatkan temasya lain seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA.

“Ketika ini, saya tidak boleh umumkan jumlah ganjaran yang akan diberi kerana perlu melalui proses tertentu namun atlet Sarawak tahu, sekiranya mereka mengharumkan nama negara dan negeri di pentas antarabangsa, ada penghargaan yang akan disediakan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bintang Kita Kebanggaan Kita dan 50 Hari Menjelang Temasya SUKMA ke-20 di sini semalam.

Sehubungan itu, Abdul Karim berharap atlet Sarawak yang terpilih mewakili negara pada Sukan Komanwel dan SUKMA ini akan mempamerkan prestasi terbaik masing – masing.

“Kalau dapat kemenangan podium, cuba pastikan ianya pingat emas, itulah harapan kita,” katanya.

Antara atlet kelahiran Sarawak yang kini mengibarkan cabaran negara pada Sukan Komanwel termasuklah ratu terjun negara, Dato Pandelela Rinong, atlet tukul besi wanita, Grace Wong dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang turut diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang sempena pembukaan rasmi sukan itu kelmarin. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.