Antara BENAR atau PALSU, semak dahulu berita di Sebenarnya.my

Spread the love

KUCHING, 30 Julai : Kehadiran berita palsu kini menjadi isu yang perlu ditangani oleh setiap negara.

Selepas pandemik COVID-19, cara berkomunikasi manusia dikatakan berubah dengan drastik.

Masyarakat lebih cenderung menggunakan sosial media dan internet untuk berkomunikasi kerana tidak memerlukan mereka berkomunikasi secara bersemuka.

Namun, ini bukan bermaksud kehidupan menjadi semakin ‘lancar’ kerana ada ‘harga’ yang terpaksa dibayar.

Yang dimaksudkan ialah ‘penyebaran’ berita palsu yang dilihat semakin membimbangkan dan Malaysia turut tidak ‘terlepas’ daripada dibelenggu masalah ini.

Imbas kembali, pada March 2020, sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tular berita palsu bahawa perintah berkurung akan dikuatkuasa.

Penyebaran berita palsu itu secara pantas itu telah menyebabkan rakyat panik.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ketika itu, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya mengesan terdapat individu tertentu yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu mengenai perkara tersebut.

“Berita palsu ini ditularkan menerusi media sosial dan telah dikongsi oleh netizen sehingga menyebabkan segelintir penduduk di beberapa lokasi di daerah Petaling Jaya menjadi panik,” katanya.

Perkara yang sebenarnya ialah kerajaan tidak melaksanakan perintah berkurung sebaliknya hanya menghadkan pergerakan penduduk bagi membendung penularan COVID-19 ketika itu.

Orang ramai masih dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan dan mendapatkan rawatan perubatan dalam radius 10 kilometer (km) dari rumah mereka dan sekiranya perlu ‘travel’ melebihi jarak itu, perlu mendapatkan kebenaran pihak polis.

Sebenarnya, Malaysia telah ‘bersedia lebih awal’ bagi berdepan isu penyebaran berita palsu oleh pihak yang bertanggungjawab ini.

Pada 2017, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melancarkan portal Sebenarnya.my, iaitu sebuah portal pengesahan maklumat.

Pengarah SKMM Sarawak, Adiman Ajem berkata, portal Sebenarnya.my diwujudkan untuk mengekang penularan berita palsu atau tidak sahih.

Ujar beliau, portal berkenaan telah dibangunkan untuk memudahkan orang ramai untuk menyemak kesahihan sesuatu berita selain melaporkan kandungan berita yang sumbang, jelik dan belum ditentukan kesahihannya.

Pengarah Negeri, Pejabat MCMC Negeri Sarawak, Adiman Ajem

“Menurut statistik, di peringkat SKMM sejak 2020 sehingga 2022, kita telah menerima sejumlah 99 kes berita palsu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak enam kes telah didakwa di mahkamah,” katanya ketika ditemubual dalam Sejahtera Asia terbitan TVS baru – baru ini.

Tambahnya lagi, di Sarawak pula, setakat Jun 2022, pihaknya telah menerima sejumlah 13 aduan berita palsu dan sedang dalam siasatan.

Terbaharu, rakyat digemparkan dengan penularan berita di media sosial mengenai kedudukan kewangan yang dikatakan sedang tenat dan Malaysia menuju ke arah menjadi negara muflis.

Berdasarkan portal Sebenarnya.My, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan juga di tahap terkawal.

Menurut MOF, dua aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability). 

Selain itu, MOF turut menjelaskan antara faktor-faktor hutang negara masih terkawal adalah disebabkan kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang sekali gus membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang dengan rekod yang baik.

“Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui kedudukan negara ini masih di tahap terurus.

“Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar Kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara,” jelas portal Sebenarnya.My.

Susulan kejadian ini, MOF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana berita sebegini berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Oleh itu, sebelum sebarkan berita, pastikan kesahihannya terlebih dahulu di portal Sebenarnya.My.

SKMM turut memaklumkan, penyebaran kandungan palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.