Sikap toleransi bukti konsep Keluarga Malaysia diamalkan di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 29 Julai : Sikap toleransi yang diamalkan di Sarawak merupakan bukti jelas mengenai konsep keluarga Malaysia yang sedang dipromosikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Dekan (Jaringan dan Alumni) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dato Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, meskipun populasi umat Islam di Sarawak adalah sekitar 30 peratus sahaja, sikap menghormati agama lain di sini begitu kuat.

Katanya, sebagai ‘orang luar’, beliau kagum dengan situasi harmoni yang wujud di Sarawak sejak sekian lama.

“Amalan seperti ini adalah sama seperti yang ditunjukkan oleh Rasullah S.A.W sehingga Madinah berjaya jatuh ke tangan Baginda dalam peristiwa Hijrah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1444H/2022M di Masjid Sebuyau semalam.

Dua lagi panelis ialah Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin dan Pengarah Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Sarip Adul.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawai turut hadir pada program Forum Perdana semalam.

Forum berkenaan bertajuk Keluarga Malaysia Pemangkin Ummah adalah anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak.

Ianya disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawai dan Yang Dipertua MIS, Datu Misnu Taha. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.