Sarawak sambut baik kelulusan RUU Anti Lompat Parti – Abdullah

Spread the love

KUCHING, 29 Julai : Sarawak mengalu-alukan kelulusan Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Rakyat semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Komunikasi, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022  itu yang akan diguna pakai dalam sistem politik negara akan mewujudkan amalan demokrasi yang sihat dan berintegriti.

Katanya, sebelum ini rakyat terpaksa berdepan situasi politik yang tidak stabil disebabkan sikap segelintir Ahli Parlimen yang melompat parti dan telah mencemar sistem demokrasi negara.

“Kita manusia, kenapa harus berkelakuan seperti katak yang suka melompat dan tukar warna kulit untuk menyelamat kedudukan diri.

“Saya yakin rakyat di negara ini sudah muak dengan drama dan retorik politik yang hanya berkisar tentang wakil rakyat yang gila kuasa dan pangkat.

“Kesimpulannya kita memerlukan keadaan politik yang stabil serta pertadbiran negara yang berfungsi dengan efektif dan tidak tercemar dengan amalan yang bertentangan dgn undang-undang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan di Dewan Rakyat semalam yang menyaksikan detik bersejarah tercatat apabila menerima kelulusan lebih dua pertiga terhadap Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata 11 Ahli Parlimen tidak hadir.

Sementara itu, Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, sekiranya negara terus berdepan dengan keadaan politik yang tidak setabil, ianya boleh menyebabkan negara ini semakin dijauhi oleh pelabur asing .

“Usaha kita untuk memulih ekonomi negara akan terbantut jika polisi ekonomi dan urusan pentadbiran negara dalam keadaan yang tidak menentu atau flip flop,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.