Sarawak buru 44 emas pada SUKMA Ke-20

Spread the love

KUCHING, 29 Julai : Sarawak menyasarkan untuk memenangi sebanyak 44 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) di ibu negara, September depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara acara yang menjadi sasaran termasuklah gimrama, Muay Thai dan wushu.

Ujar beliau, sasaran itu dibuat berdasarkan pencapaian atlet – atlet negeri ini pada SUKMA 2018 di Perak.

“Kenapa 44 pingat emas ialah kerana ada acara digugurkan seperti terjun wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bintang Kita Kebanggaan Kita dan 50 Hari Menjelang Temasya SUKMA ke-20 ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, sasaran yang diletakkan juga berdasarkan penilaian pelbagai persatuan sukan di Sarawak.

“Kita juga mengambil kira penyertaan negeri lain dalam acara sukan tertentu,”katanya.

Pada SUKMA 2018, Sarawak memungut 42 emas, 36 perak dan 60 gangsa untuk menamatkan cabaran di tempat keempat keseluruhan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.